My Sacred Journey – Umrah [Part 1]

0
Print Friendly

Bismillah.

Segala puji-pujian bagi Allah yang Maha Baik dan Maha Pengasih.

Hari ini genap 50 hari berlalu selepas saya menunaikan Umrah saya pada bulan April 2015 yang lepas (read: artikel ini saya copypaste dari personal blog saya). Alhamdulillah. Syukur sangat kerana Allah menjemput saya ke Haramain. Masih terakam kemas apa yang saya lalui sepanjang berada di Madinah dan Mekah.

Saya harap agar apa yang saya catatkan ini tidak menimbulkan rasa riak ataupun menunjuk-nunjuk. Percayalah, pengalaman menunaikan umrah merupakan kenangan terindah bagi seorang Muslim yang pastinya tidak akan terhapus dari fikiran untuk selamanya. Saya berharap sangat agar apa yang saya kongsikan ini memberi manfaat pada yang bakal mengerjakan umrah dan dapat membuka hati-hati yang masih lagi ‘separuh-separuh’ untuk pergi.

Jemputan Allah Memang Tak Terduga

pengalaman menunaikan umrah

Wallahi. Rasa cinta pada 2 bandar yang paling tenang itu masih segar sehingga kini. Walau banyak kali saya ceritakan pengalaman saya kepada sahabat-sahabat saya, pasti saya berasa sebak. Dan ada certain part rasa mahu menangis. *emosi tapi saya suka!

Sebenarnya keputusan untuk menunaikan umrah yang lalu adalah keputusan ad hoc. Sebelum ini, saya memang ada niat untuk menunaikan umrah tapi bukan pada waktu yang terdekat. Dan malu saya nak nyatakan – saya tidak ada ‘perasaan teruja’ nak pergi menunaikan umrah. Bila sahabat-sahabat saya yang pernah pergi umrah bercerita mengenai Madinah dan Mekah – saya rasa biasa-biasa sahaja. Semasa itu, saya bukan pilihan tetamu jemputanNya..

Tapi benar sungguh apa yang dikatakan. Allah memang pilih dan menjemput tetamuNya sahaja. Ada yang berduit tapi takde masa. Ada yang ada masa tapi tak berduit. Ada yang takde duit tapi jalannya sentiasa ada. Begitu juga dengan saya. Dah ada bajet dan masa tetapi tiada ‘jemputan’ dari Dia Yang Agung.

Tapi bila Allah jemput, yang dirasakan mustahil pun boleh berlaku. Dan itulah yang berlaku kepada kami. Dalam masa yang singkat, saat dirasakan mustahil untuk tertunai tapi Allah mudahkan dari awal hingga ke akhir. SubhanAllah Maha Suci Allah..

12 Mac 2015 (Khamis)- Tak tahu bagaimana saya sampai ke website Andalusia. Saya lihat pakej umrah. Dan tiba-tiba saya rasa NAK SANGAT PERGI. Saya tak tahu bagaimana perasaan itu tapi keinginan tu sangat membuak-buak. Rasa syahdu tiba-tiba. Rasa nak menangis. Hati seolah-olah ditarik tarik. Dengan rasa ragu-ragu saya bagitahu suami saya mengenai keinginan itu. Saya tak yakin sebab saya nak pergi tarikh kosong yang paling hampir. (Suami saya tak suka plan last minute). Tapi ajaibnya – suami saya bersetuju! Mungkin tempat yang saya nak pergi itu rumah Allah yang sangat diidamkan setiap Muslimin.

Saya cepat-cepat WhatsApp Haji Hisyam (person in charge) dan beliau memberitahu tarikh sekurang-kurangnya mesti 30 hari sebelum berlepas. Kalau 30 hari bermaksud paling cepat saya boleh pergi ialah pada 12 April 2015. Tapi saya ada 2 masalah kalau pergi tarikh tu. Pertama saya akan kembali semula ke Malaysia pada 23 April 2015. Malangnya saya ada bekpek mak-mak ke Korea pada 20 April 2015. Kedua, hati saya sendiri sudah tidak sabar untuk ke sana. 12 April bagi saya terlalu lama!

Jadi setelah berbincang dengan Haji Hisyam & melihat pada mana-mana pakej yang available, akhirnya kami memilih untuk menunaikan umrah pada 4 April 2015 menaiki Air Asia X. Saya pergi bersama suami, ibu mertua dan ayah mertua.

Walaubagaimanapun, kerana masa yang tinggal sebelum tarikh berlepas cuma ada 24 hari sahaja, kami mesti submit semua dokumen yang diperlukan untuk proses Visa pada hari Isnin (16 Mac 2015). Pada masa itu perasaan bercampur baur kerana pertama – ayah dan ibu mertua saya masih belum mempunyai passport, kedua – kami mesti mendapatkan suntikan meningitis ACYW135, ketiga – setiap daripada kami mesti menyediakan 4 keping gambar passport dan keempat – saya perlu menyediakan salinan Surat Nikah yang disahkan/dicop oleh pejabat agama (Wisma Putra, Putrajaya) kerana saya berusia di bawah 45 tahun dan membuktikan saya pergi ke umrah bersama suami saya. Semuanya mesti diselesaikan dalam masa 4 hari (Jumaat – Isnin, read: 2 hari cuti Sabtu dan Ahad).

Visa Umrah
Alhamdulillah, dipendekkan cerita semuanya dipermudahkan dan kami berjaya submit kesemua dokumen yang diminta oleh Haji Hisyam pada hari Isnin seperti yang dijanjikan. Tapi risau di hati tetap ada sebab kalau mengikut syarat yang dinyatakan di website Andalusia, semua penyerahan dokumen untuk Visa sekurang-kurangnya 45 hari sebelum tarikh berlepas. Tapi hati sangat meminta pada Allah agar Dia benar-benar menjemput kami..

Kursus Umrah, Youtube, Blog & Bff

Sepanjang tempoh menanti tarikh keramat, saya paling rajin blogwalking ke blog-blog mereka yang pernah menjadi tetamu Allah. Bila saya baca pengalaman mereka, serius memang rasa sebak sangat. Kadang-kadang kita tak boleh nak zahirkan betapa ‘lainnya’ perasaan mahu ke Tanah Haram.

Perasaan membuak-buak rasa ‘rindu’ dan ‘cinta’ semakin menebal apabila menghadiri kursus umrah. Saya masih ingat nama ustaz yang meyampaikan ilmu dalam kursus tu. Namanya Ustaz Khairul Amin Mohd Zain. Penyampaiannya sangat mendalam. Beberapa kali saya sebak dalam majlis ilmu tu. Paling saya ingat pesan beliau mengenai rahmat & syafaat. Tentang rahmat Allah kepada hambaNya. Tentang syafaat yang Nabi Muhammad berikan kepada umatnya. Ustaz kata, kita bukan masuk Syurga disebabkan amal ibadah kita.. tapi kerana rahmat Allah.. Rasa sentap sangat.. Dan dalam masa yang sama rasa kerdil sangat diri ini.. Allah.. 😥

Kursus Umrah

Dan oh ya, saya hadiri kursus umrah di salah satu cawangan Andalusia di Sungai Ramal, Kajang. Di sana kelasnya lebih selesa dan kurang sesak berbanding kursus di HQ Andalusia (Taman Maluri). Dan mereka juga ada sediakan minum pagi yang ringkas tapi keseluruhannya sangat puas hati kerana lebih mudah untuk menghayati apa yang disampaikan oleh Ustaz Khairul. Pesan saya kalau nak hadiri kursus umrah, tempat ini memang sangat sesuai. Cuma anda perlu confirmkan kehadiran sebelum datang.

Selain itu, saya sangat rajin melihat ceramah mengenai umrah di Youtube. Salah satunya adalah video Ustaz Khairi. Banyak tips dan ilmu berguna daripada beliau. Cara nak pakai kain umrah juga suami saya selalu rujuk di Youtube  😉

Buku Umrah yang diberikan oleh pihak Andalusia juga sangat berguna. Suami saya paling rajin baca buku tu. Dia dah khatam baru saya terhegeh-hegeh nak baca. 🙂

Sahabat-sahabat baik saya juga banyak memberikan tips-tips berguna. Dari persediaan sebelum ke Tanah Haram – Raudhah – sehinggalah ke tips beli belah di sana (Saya niat awal lagi cuma mahu shopping di Madinah sahaja. Btw, saya tak shopping apa pun, sikit-sikit je untuk ole-ole keluarga). 😀

Syafaat Rasulullah di Akhirat

Ustaz Khairul kata.. Setiap daripada kita kalau mampu pergilah tunaikan umrah. Kalau belum mampu usahakanlah. Pergi ziarah makam Nabi Muhammad di Masjid Nabawi. Rasulullah sentiasa merindukan umatnya. Salah satu kelebihan kalau kita pergi menziarahi makam baginda ialah seoalah-olah kita menziarahi baginda semasa hidupnya.

Imagine, kita mahu pergi ke Madinah dan mahu menziarah makam lelaki paling hebat di dunia ini. Yang paling dicintai Allah, dicintai makhluk di dunia dan juga makhluk di langit! Bagaimana nak sembunyikan perasaan teruja? Sedangkan sekarang pun, kalau ada orang bagi peluang nak jumpa Erdogen – pasti kita semua teruja kan? Apatah lagi untuk menziarahi Rasulullah S.A.W!

Baginda bersabda:

“Sesiapa yg menziarahi aku selepas kematianku seumpama dia menziarahi aku ketika aku hidup”.
[Hr Ad-Dar Qutni]

Paling saya tidak dapat lupakan cerita Ustaz Khairul berkenaan syafaat Nabi Muhammad di akhirat kelak. Rasulullah sangat mencintai umatnya. Iaitu kita. Salah satu kelebihan Rasulullah berbanding rasul yang lain ialah baginda sahaja yang mampu memberikan syafaat di akhirat kelak. Syafaat Baginda melebihi syafaat para Nabi, Siddiqin, Syuhada’, dan Salihin.

Baginda bersabda:

“Bagi setiap Nabi ada doa yang mustajab untuk dia berdoa dengannya, dan aku menyimpan doaku sebagai syafaat bagi umatku pada Hari Akhirat.”
[Hr Bukhari & Muslim]

Semua nabi diberikan peluang oleh Allah untuk menggunakan peluang ‘doa mustajab’ ketika di dunia. Tetapi Rasulullah tidak menggunakan peluang tersebut semasa di dunia ini (walaupun menghadapi banyak dugaan dan kesusahan) kerana Baginda mahu reserve peluang tersebut untuk digunakan semasa di akhirat kelak. Dan Baginda buat itu semata-mata kerana mencintai umatnya.  Baginda mahu membantu hambaNya dengan syafaatnya. Bagaimana mungkin kita tidak mencintai Rasulullah? 😥

“Siapa yang menziarahi aku di Madinah untuk mendapat pahala, aku akan menjadi saksi dan beri syafaat untuknya di hari kiamat”
[Hr Baihaqi Dari Anas Bin Malik]

Walaubagaimanapun, kita kena faham. Menunaikan umrah dan pergi menziarahi makam Baginda tidak bermaksud kita confirm mendapat syafaat daripada Rasulullah. Dan bukan ‘tiket’ untuk kita melakukan maksiat selepas kembali dari umrah. Yelah, mungkin ada yang fikir diri dah pergi umrah – dapat syafaat – confirm masuk Syurga! Salah sangat tanggapan tu.

Sebenarnya, walaupun Rasulullah membantu kita dengan syafaatnya semasa di hari kiamat nanti, final decision terletak di tangan Allah jua..

Syafaat tidak akan diterima kecuali dengan dua syarat yang cukup penting; Pertama, Keizinan dari Allah buat pemberi syafaat. Seseorang tidak boleh memberi syafaat tanpa mendapat izin ALLAH. Kedua, Keredhaan Allah atas penerima syafaat.

Dalil bagi syarat pertama adalah firman Allah dalam ayat Al-Kursiy,
“Tiada siapa yang dapat memberi syafaat di sisi Allah melainkan dengan izinNya(Al-Baqarah: 255).

Juga Allah berfirman, “Dan berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka sedikit pun tidak berguna kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi siapa yang Dia kehendaki dan Dia redhai” (Al-Najm: 26).

Firman Allah lagi, “Allah mengetahui segala yang di hadapan mereka dan yang di belakang mereka, dan mereka tidak memberi syafaat melainkan kepada orang yang diredhai Allah.” (Al-Anbiya’: 28)

Ayat ini mengandungi kedua-dua syarat. Syafaat para malaikat yang banyak di langit pun tidak bermanfaat kecuali setelah tertunai dua syarat; mendapat izin dan redha ALLAH.

Satu lagi dalil, “Hanya milik Allah syafaat itu kesemuanya” (Al-Zumar: 44). Ayat ini menjelaskan bahawa pemberi syafaat tidak berkuasa memberi manfaat atau menolak mudarat kepada sesiapa, sebaliknya mereka hanyalah perantara, setelah menepati dua syarat tadi.

Sumber

Dugaan kecil sebelum ke Tanah Suci

2 minggu sebelum berlepas ke Tanah Suci, saya diserang selesema yang sangat teruk. Saya anggap memang Tuhan mahu menguji dan menyucikan diri. Saya tahu terlalu banyak dosa yang saya pernah buat sebelum ini. Saya alami sakit kepala yang sangat teruk. Bersin tidak berhenti. Batuk pun sama. Ya Allah, ampunkanlah aku ya Allah. Beberapa hari sebelum berlepas barulah selesema saya reda sedikit. Tapi dugaan berlaku sekali lagi semasa dalam flight. Sepanjang perjalanan saya menahan sakit yang amat sangat akibat selesema dan tekanan udara. Hanya yang pernah lalui sahaja akan faham betapa sakitnya menahan sakit telinga akibat tekanan udara – lebih lebih lagi kalau masa tu anda selesema tahap 3.  😳

Memang benar, semua ini adalah dugaan dan saya berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi sangat sabar dan tidak berkeluh kesah di atas dugaan yang dihadapi. Dan saya benar-benar bersyukur, tiba di Madinah alhamdulillah keesokannya saya sembuh seperti biasa sehingga hari terakhir di Tanah Haram. Dalam flight saya mula batuk-batuk kecil. Walau apa pun, terima kasih Allah di atas semua nikmat yang tidak terhitung semasa berada di sana.. 😥

Okay, insyaAllah akan bersambung nanti..

{ Nota: ‘Saya’ untuk lebih feel 😀 }

Ikhlas,

sweetbonda

share

A Momster. MomBlogRapher. Simple & Minimalist. ShakleeLover. Writer. Loves TravelFood.

Leave A Reply

CommentLuv badge