Amalan Ini Mesti Diamalkan Semasa Hamil Agar Dapat Membentuk Anak Yang Berakhlak Mulia

0
Print Friendly, PDF & Email

Amalan Semasa Mengandung

Hubungan manusia bukan sekadar sesama manusia. Bahkan hubungan manusia yang lebih penting adalah komunikasi yang utuh dengan Pencipta. Perhubungan dengan Allah SWT ini bermula sejak di alam rahim lagi. Semenjak roh ditiupkan kepada janin, komunikasi telah bermula apabila janin berjanji untuk memberikan ketaatan tanpa menyekutukan-Nya dengan yang lain.

Hal demikian menyebabkan ibu bapa menjadi individu terpenting dalam mendidik jiwa rohani kepada anak-anak semenjak dari dalam kandungan. Amalan-amalan kerohanian perlu diserapkan ke jiwa anak-anak bermula dari awal usia kandungan dan sehingga lahirnya mereka. Malahan lebih berat tanggungjawab yang bakal dipikul selepas kelahiran anak itu.

Ayuh kita lihat senarai semak berkenaan pendidikan rohani yang perlu disematkan kepada anak-anak yang masih di alam rahim lagi. Bak kata orang tua-tua melentur buluh biarlah dari rebungnya. Bila sudah menjadi buluh baru hendak dilentur, buluh sudah keras usaha juga menjadi sukar.

<< Khas Buat Ibu Hamil >>

1. Memperbanyakan Berzikir

Semasa di alam rahim lagi, bayi sepatutnya telah didendangkan dengan alunan zikir-zikir yang mengagungkan kebesaran Allah SWT seperti Lailahaillallah (Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah), Subhanallah (Maha Suci Allah), Allahuakbar (Allah Maha Besar) dan sebagainya.

Hal sedemikian dapat mendidik jiwa anak tersebut agar menyedari hakikat hidup sebenar selepas kelahiran ke dunia. Zikir Ya Latif (Yang Maha Lembut) berkesan membentuk peribadi anak danmengurangkan kedegilan anak serta panas baran.  Bukan sekadar itu, zikir tersebut mengandungi banyak kelebihannya seperti kemurahan rezeki, penawar kepada pelbagai penyakit, menguatkan ketabahan hati ketika diuji dan sebagainya.

2. Memperbanyakkan Membaca Al-Qur’an


Amalan Ibu Mengandung

Amalan mengaji bukan hanya dituntut sewaktu mengandung sahaja bahkan pada bila-bila masa terluang. Namun, ibu mengandung digalakkan memperbanyakkan lagi bacaan Al-Quran agar pendidikan rohani dan islamik yang terkandung di dalamnya dapat mempengaruhi kehidupan si anak itu selepas kelahirannya. Antara surah-surah yang digalakkan untuk dibaca sewaktu hamil ialah:

Surah Yusuf – berniat semoga anak yang dilahirkan nanti mempunyai rupa paras yang cantik dan akhlak yang baik

Surah Luqman – berniat semoga anak yang dilahirkan mempunyai akal fikiran yang tajam dan cerdik

Surah Maryam – berniat untuk mendapatkan anak yang soleh dan solehah

Surah Al-Imran ayat 8-9, dan 38 – doa memohon anak yang baik

Surah Ibrahim ayat 40 – doa agar anak tetap mengerjakan solat dan ditetapkan imannya

Surah Al-Baqarah ayat 128 – doa agar anak patuh kepada perintah Allah SWT

Surah As-Sajdah ayat 7-9 – doa agar anak menjadi orang yang soleh dan baik

Surah Al-Furqan ayat 74 – doa agar dikurniakan anak yang menyejukkan, menyenangkan hati ibu bapa, doa untuk mendisiplinkan anak dan doa untuk kebahagiaan sekeluarga

3. Bersedekah

Amalan Semasa Mengandung

Islam menggalakkan umatnya memberikan pertolongan kepada yang memerlukan mengikut kemampuan kita. Oleh yang demikian, semasa mengandung sangat digalakkan untuk bersedekah kepada yang memerlukan dengan nawaitu Lillahi Taala. Hikmahnya agar anak yang berada di dalam kandungan itu tidak mementingkan diri, sentiasa merendah diri dan memupuk jiwa untuk mengeratkan persaudaraan.

Jauhi Sifat Mazmumah

Pantang larang sepanjang hamil adalah dengan menjauhkan diri dari mempunyai sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, amarah, mencari dan membuka keaiban orang, dan sebagainya. Sifat-sifat seperti ini dikhuatiri akan menurun kepada anak di dalam kandungan. Pasti kita sebagai ibu bapa tidak mahu anak kita terjebak dengan sifat-sifat sedemikian bukan? Jadi penerapan sifat-sifat mahmudah adalah lebih digalakkan bukan semasa anak di dalam kandungan sahaja bahkan selepas kelahirannya nanti. 

Amalan Semasa Mengandung

Jadi kepada bakal ibu bapa mahu pun yang telah bergelar ibu dan bapa, sentiasalah mendoakan kesejahteraan dan kebaikan untuk zuriat kita. Jangan sesekali mengeluarkan perkataan yang kotor, kesat dan kasar kepada mereka tetapi sentiasa bercakap perkara-perkara mulia. Secara tidak langsung keperibadian ibu bapa tersebut dapat dicontohi oleh anak-anak kelak.

Jangan lupa tekan butang SHARE di bawah sekiranya anda rasa artikel ini bermanfaat untuk sahabat & saudara anda. :)
Mudah-mudahan anda juga mendapat pahala berkongsi ilmu ini. Thanks!  

share

A Momster. MomBlogRapher. Simple & Minimalist. ShakleeLover. Writer. Loves TravelFood.

Leave A Reply

CommentLuv badge